Thursday, October 12, 2023

Tok Awang Ngah

 Tok Awang Ngah adalah nama pena bagi penulis buku genre seram yang terkenal di Malaysia sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Bersama Tamar Jalis, yang juga penulis genre seram terkenal, mereka berdua adalah pelopor kepada karya bergenre ini. Tok Awang Ngah berdarah Minangkabau, di mana asal datuk beliau (sebelah ayah) adalah dari daerah Ngarai Sihanuk, Bukittinggi, Sumatera. Berdasarkan penceritaan dalam buku-buku, Tok Awang Ngah adalah anak kedua dari 9 orang adik beradik.


KARYA TOK AWANG NGAH

Beliau telah menghasilkan karya bermula dari tahun 1984 hingga tahun 2007, yang diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan antaranya Mulya Utama Enterprise, Penerbitan Ibunda, Penerbitan Fajar Bakti, Zebra Editions dan Tastax Raya Sdn Bhd.


Karya beliau juga diterbitkan dalam majalah Intisari terbitan Mulya Utama, dan juga di dalam akhbar tabloid Pentas Dunia yang diterbitkan oleh Allahyarham Sdr. Omar Manan dan akhbar tabloid Buletin Rakyat.


Dilahirkan di dalam keluarga yang pentingkan ilmu agama, tidak mustahil ilmu dan pengalaman yang beliau ada adalah berpandukan dari perubatan yang dilakukan oleh datuk dan ayah beliau, seperti pengubatan secara dalam tidur. Ada dikalangan peminat Tok Awang Ngah menggelarkan cara pengubatannya "Meragam Sukma". Ada juga yang mengaitkan cara pengubatan Tok Awang Ngah ini seperti Nasrul Haq, yang diasaskan oleh Prof. Dr. Muchtar Lintang.


Setiap hasil penulisan di dalam buku beliau berdasarkan kisah benar yang dirakamkan daripada pengalaman beliau sendiri. Penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir sering kali dipaparkan dalam karya Tok Awang Ngah. Buku-buku penulisan Tok Awang Ngah menceritakan bagaimana beliau menggunakan kalimat doa, zikir dan ayat-ayat suci Allah S.W.T dalam menghadapi penentangan dan gangguan dari jin dan syaitan. Menariknya, kisah-kisah yang diceritakan amat berbeza dengan buku-buku seram dan mistik yang biasa kita lihat.


Di awal penerbitan buku Tok Awang Ngah, ayat-ayat Al-Quran dan rujukan surah ditulis dalam ejaan rumi bagi memudahkan pembaca. Ia seperti satu trademark dalam karya Tok Awang Ngah. Tetapi, pada pertengahan tahun 1990-an, Kementerian Dalam Negeri telah melarang penggunaan ejaan rumi dalam ayat-ayat Al-Quran bagi mengelak kekeliruan dalam sebutan atau ejaan.


LAIN-LAIN

Buku Tok Awang Ngah bertajuk Berkelahi Dengan Syaitan 2 pernah terjual sebanyak lebih kurang 350 ribu unit dan merupakan jualan tertinggi di dalam karya Tok Awang Ngah.


Dalam sosial media peminat karya Tok Awang Ngah telah membuka satu grup Facebook "Komuniti Peminat Karya Tok Awang Ngah" (pautan : https://www.facebook.com/groups/880206295398606) untuk membicarakan karya Tok Awang Ngah, bertukar pandangan dan membuat jualan buku-buku beliau.


ANAK MURID/LEGASI

Seperti yang diketahui oleh peminat karya Tok Awang Ngah, murid terkanan Tok Awang Ngah adalah Alang Bumin yang juga ada menghasilkan beberapa karya berdasarkan pengalamannya. Difahamkan, Tok Awang Ngah juga ada beberapa anak murid lain dan ilmu beliau telah diturunkan/diajar kepada mereka beberapa tahun sebelum Tok Awang Ngah meninggal dunia.


MENINGGAL DUNIA

Tok Awang Ngah telah meninggal dunia pada 12 Ogos 2009 dan dikebumikan di kampung halaman beliau. Walaupun identiti sebenar Tok Awang Ngah telah diketahui oleh segelintir peminat karya seram, tetapi atas menghormati waris dan keluarga beliau, namanya tidak dipaparkan di sini. Sekiranya Tok Awang Ngah hendak mendedahkan identitinya, sudah tentulah beliau sendiri akan berbuat demikian semasa hayatnya. Tetapi, beliau tidak mendedahkannya dan anggaplah ia seperti satu amanah atau wasiat beliau.


SENARAI KARYA TOK AWANG NGAH

Senarai buku-buku karya Tok Awang Ngah mengikut abjad. Ada juga yang diterbitkan semula (reprint) dan diberi tajuk lain oleh Penerbitan Mulya Utama


Amukan Syaitan

Bahana Ilmu Syaitan

Bajang Peliharaan

Balasan Ilmu Syaitan

Berkelahi Dengan Syaitan 1

Berkelahi Dengan Syaitan 2

Berkelahi Dengan Syaitan 3

Berkelahi Dengan Syaitan 4

Berkelahi Dengan Syaitan 5

Berkelahi Dengan Syaitan 6

Berkelahi Dengan Syaitan 7

Berkelahi Lawan Syaitan

Berlawan Dengan Syaitan

Bersumpah Dengan Syaitan

Bercakap Dengan Syaitan

Bencana Lawan Syaitan

Bercinta Dengan Puteri Bunian

Dendam

Dendam Jelmaan Syaitan

Dendam Syaitan

Dendam Lawan Syaitan

Dendam Wanita Berlaki Sembilan

Dijebak Puaka Syaitan

Disembelih Puaka

Godaan Syaitan

Gadis Di Salai Atas Bara

Gadis Di Lamar Jelmaan Haruan

Gadis Dinodai Jin

Harimau Akuan

Ilmu Pengasih Syaitan

Jubah Putih Di Hutan Bakau

Katak Keluar Dari Mulut

Kepala Perempuan Tiba-Tiba Hilang

Kepala Mayat Memercik Darah

Lelaki 44 Isteri

Lipan Bara

Mainan Syaitan

Manusia Jelmaan Jadi Keluang

Mayat Bertukar Jadi....

Mayat Jadi Puntung Kayu

Melawan Bencana Syaitan

Melawan Saka Syaitan

Menentang Syaitan Jilid 1

Menentang Syaitan Jilid 2

Menentang Syaitan Jilid 3

Menentang Syaitan Jilid 4

Menentang Syaitan Jilid 5

Minyak Dagu Mayat Anak Dara

Padah Ilmu Syaitan

Pemikat Minyak Senyonyong

Pemuja Ilmu Syaitan

Penunggu Rumah Syaitan

Penangkal Syaitan

Pengasih Minyak Cenuai

Perangkap Syaitan

Rasukan Syaitan

Rasukan Ilmu Syaitan

Rintihan Dari Kubur

Santau Syaitan

Sumpah Perempuan Bersuami Tujuh

Sumpahan Ilmu Syaitan

Susuk Berlian Syaitan

Susuk Emas Syaitan

Susuk Emas Andam Pengantin

Susuk Perempuan Mandul

Syaitan Jelmaan

Tangkal Ilmu Syaitan

Ular Putih Melingkari Rumah

Ular Dalam Kubur Wanita

Wanita Bersuami 7

SENARAI WATAK-WATAK DALAM KARYA TOK AWANG NGAH

Antara watak-watak dalam buku Tok Awang Ngah


Tok Awang Ngah - Ustaz / Angah

Mayah - isteri Tok Awang Ngah

Tok Aji - datuk Tok Awang Ngah

Nenek Aji - nenek Tok Awang Ngah

Bidan Ibah - nenek Tok Awang Ngah, ibu Pak Tua Mahat

Bilal Hud - ayah Tok Awang Ngah

Hajah Seriyah - kakak Tok Awang Ngah (anak sulung)

Haji Mosli - suami Hajah Seriyah, abang ipar Tok Awang Ngah

Cikgu Alif - adik Tok Awang Ngah (anak ke 3)

Lebai Maarih - adik Tok Awang Ngah (anak ke 4)

Sumin - adik bongsu Tok Awang Ngah

Ustaz Mat Deh - sepupu Tok Awang Ngah

Haji Mat Deman - Ayah Ustaz Mat Deh & bapa saudara Tok Awang Ngah

Ngah Jiyah - emak ustaz Mat Deh, & kakak kepada emak Tok Awang Ngah

Pak Tua Mahat - bapa saudara Tok Awang Ngah

Aki Jaaman - adik nenek Tok Awang Ngah (datuk saudara)

Aki Sigat - adik nenek Tok Awang Ngah (datuk saudara)

Sumaleh(Pak Suma) - kawan & adik angkat Tok Aji

Mak Ibah - isteri Pak Suma

Wak Samin - kawan Tok Aji

Alang Jaman - menantu Wak Samin

Haji Manan - kawan Tok Aji

Dukun Lawi - anak angkat Tok Aji

Kadir Misai - rakan karib Tok Awang Ngah

Alang Bumin/Habib - anak murid Tok Awang Ngah

a

a